Hari ini KWSP telah mengumumkan perincian i-Sinar, siapa yang layak untuk memohon i-Sinar dan bila tarikh permohonan dibuat.
Terdapat 2 Kategori pemohon iaitu :
Kategori 1
Mereka yang layak termasuk ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.
Mereka yang sudah lama tidak mencarum KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut atau mereka yang sudah bekerja tetapi mengalami pengurangan gaji sehingga 30 peratus boleh mula memohon pada 21 Disember 2020 di isinar.kwsp.gov.my .
Untuk kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan dan kelulusan secara automatik berdasarkan data KWSP.
Pembayaran untuk ahli yang layak bermula pertengahan Januari 2020
Kategori 2
Mereka yang layak adalah yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas 1 Mac 2020.
Untuk kategori ini, KWSP memerlukan dokumen sokongan iaitu slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan, notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa.
Jika tiada dokumen di atas, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan.
Permohonan boleh dibuat di isinar.kwsp.gov.my bermula 11 Januari 2021.
Status permohonan akan dimaklumkan dalam masa 2 hingga 3 minggu selepas permohonan dibuat.
Pembayaran akan dibuat sebelum akhir bulan berikutnya selepas kelulusan diberi.
Jumlah Kelayakan i-Sinar
Jumlah yang diterima oleh ahli yang layak bergantung kepada baki simpanan akaun 1.
1. Ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan kebawah dalam akaun 1
→ Boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000
→ Pembayaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum 6 bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000
2. Ahli yang mempunyai baki lebih RM100,000 dalam akaun 1
→ Boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000
→ Pembayaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum 6 bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000
Sebelum Memohon, Daftar i-Akaun KWSP
Untuk memastika proses permohonan lancar, pastikan
1. Ahli digalakkan untuk mendaftar i-Akaun
2. Mengemas kini nombor telefon bimbit untuk menerima Transaction Authorisation Code (TAC) di kios atau kaunter KWSP
3. Memastikan nombor akaun bank adalah aktif.
Info lanjut boleh layari isinar.kwsp.gov.my atau kwsp.gov.my/home.